Monday, January 18, 2016

Kenangan Hamil Kali Pertama - Trimester 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera!

Anis kini berada di hujung kehamilan. Hampir genap 38 minggu. Sebelum bersalin, memang Anis berniat untuk mencatatkan pengalaman dan kenangan-kenangan Anis sepanjang kehamilan kali ini. Jom sama-sama kita ikuti!

Tarikh EDD: 02 Februari 2016
Jadi, secara teorinya, kehamilan Anis bermula pada 28 April 2015.

TRIMESTER PERTAMA (BULAN 1 hingga BULAN 3)

Pada 12 Jun hingga 14 Jun 2015, Anis dan suami pergi bercuti ke Putrajaya dan Port Dickson sempena meraikan ulangtahun kelahiran suami Anis pada 14 Jun 2015. Memang ketika ini kami berniat untuk TTC. Kononnya, mini honeymoon sekalilah...tapi tak sangka pula sebenarnya masa ini Anis sudah mula hamil (6 minggu). Hehe. Sebab, sebelum ini Anis belum ada apa-apa tanda yang menunjukkan Anis hamil. Cuma, Anis ada datang period lewat, tetapi Anis sangkakan itu disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon seperti yang Anis alami sebelum-sebelum ini. Jadi, memang Anis taklah expect yang Anis sudah mengandung masa tu. 

Yang menjadi kenangannya, semasa di awal kehamilan ini...disebabkan Anis tidak tahu yang Anis mengandung, macam-macam aktiviti berisiko yang Anis lakukan bersama suami ketika bercuti ini. Kami pergi main ice-skating di IOI City Mall. Bayangkan kalau Anis terjatuh dan keguguran di situ. Namun, Alhamdulilah..memang Anis cukup berhati-hati tak nak jatuh langsung dan memang tak jatuh langsung. Risau juga dilanggar orang, tapi syukur selamat. 

Selain itu, Anis ada juga rasa kurang bertenaga seperti cepat letih. Tak larat rasanya nak berjalan dalam IOI Mall yang luas tu. Suami Anis pula ajak bershopping. Sampaikan Anis rasa macam nak tidur je dalam surau lepas solat dan mesti nak duduk lepas jalan jauh sikit. Rasa sangat tak normal, sebab rasa keletihan yang melampau. Padahal, bukan Anis sakit pun masa itu. Sihat walafiat je, cuma rasa sangat tak bermaya. Tetapi, sebab nak melayan suami, gagahkanlah jua.  

Di Port Dickson pula, kami main sukan air bermotor. Kami duduk di floating seat yang ditarik oleh motorbot (Anis tak pasti orang panggil apa aktiviti ini). Terbang-terbang Anis di udara main aktiviti itu. Suami Anis siap tergelak-gelak tengok Anis jadi 'Spiderman', tapi tak jatuh-jatuh pun dalam air. Padahal, dia risau juga. Hehe. Maklumlah, bot agak laju dan Anis ni kategori ringan saja, mudah nak terbang. Hihi. Haa, nasib baik Anis tak pergi menunggang kuda sebab tak sempat. Di Eagle Ranch Resort PD tempat kami menginap, ada disediakan aktiviti menunggang kuda. Memang Anis ada bercadang pada awalnya, tapi disebabkan kesuntukan masa, dan cuaca yang kurang baik, maka tak sempat. Mujurlah ada hikmahnya ketika itu. Allah selamatkan kandungan Anis. Syukur, Alhamdulilah... 

Selepas itu, barulah Anis mula mengalami morning sickness yang ketara. Tambahan pula, waktu itu bulan Ramadan telah bermula. Memang agak mencabar pengalaman trimester pertama bagi Anis walaupun bermula agak lewat. Simptom pertama yang Anis alami ialah hidung sensitif. Anis pelik sangat, sebab Anis selalu bau semacam je setiap kali masuk dalam toilet. Tak dapat nak ditafsirkan bau tu, tapi Anis rasa sangat tak selesa sampai nak termuntah rasanya kadang-kadang. Puas Anis mencari punca, dan mengadu pada suami dan mertua Anis. Yang peliknya, diorang tak bau apa-apa pula. Huhu. Lepas Anis letak perfum dalam toilet pun, Anis masih tak berpuas hati sebab tetap ada bau semacam tu. Ish, pelik betul! 

Dan Anis makin kerap muntah dan rasa tak sedap tekak. Lepas bersahur, muntah! Lepas berbuka, muntah! Kadang-kadang, cuak nak makan sebab tak nak muntah. Seksa tau bila muntah ni..huhu Habis merah padam satu muka dan akan rasa lemah sangat-sangat selepas termuntah tu. Tetapi, Anis makan jugalah selagi boleh makan. Sebab bulan puasa, kalau tak makan nanti tak ada tenaga langsung pula. Selain itu, Anis tak boleh bau tumis masakan. Mulalah rasa tak sedap tekak, silap-silap termuntah lagi. So, memang Anis tak berapa suka nak memasak masa mengandung ni. Nak masuk dapur tu rasa liat sangat. Huhu. Mujurlah, mak mertua dan ayah mertua Anis boleh memahami. Lagipun, kami duduk bertiga saja, memang jarang memasak. 

Habis, bila Anis tahu Anis ni mengandung? Apabila dah keluar simptom-simptom morning sickness yang disebut tadi, Anis pun tergerak hati nak buat ujian UPT. Mertua Anis dan family Anis sendiri pun sudah mengagak yang Anis mungkin pregnant. So, dalam bulan puasa itulah Anis buat ujian UPT. Masa itu, Anis dan suami balik berpuasa di rumah family Anis di Temerloh. Tarikhnya cantik iaitu 070715. Anis ada ceritakan moment itu di sini. Pada waktu ini, usia kandungan Anis sudah 10 minggu. Sungguh tak terkata perasaan gembira ketika itu apabila mengetahui ada satu jantung lain yang turut berdegup dalam diri ini. MOMAZING! Saiz baby (CRL) ketika scan kali pertama ini ialah 27.4 mm. 

Tak lama lepas itu, hari Raya Aidilfitri menjelma tanggal 17 Julai 2015. Usia kandungan Anis lebih kurang 11 minggu. Alhamdulilah, sepanjang bulan Ramadan, Anis berjaya berpuasa sebanyak 25 hari, Anis tinggal 4 hari puasa sebab di akhir-akhir itu, Anis sudah tak larat (perut kosong) dan risau pada baby dalam kandungan. Anis ingat lagi masa hari Raya pertama, Anis sangat berselera makan juadah hari Raya di Terengganu. Al-maklumlah, pertama kali beraya bersama suami di belah mertua. Sebelum ini, wajib beraya dengan family sendiri di Temerloh. Syukurlah Anis tiada muntah-muntah sepanjang konvoi beraya pada hari itu. Cuma, pada waktu malam, Anis sudah kurang selera makan dan berasa letih. 

Mujur juga, pada waktu itu, baju raya Anis masih muat dipakai walaupun bahagian pinggang agak ketat sedikit. Berat badan Anis juga belum naik mendadak mungkin sebab kurang makan semasa bulan puasa. Sebenarnya, Anis memang makan cuma selalu muntah balik dan maklumlah dalam bulan puasa hanya boleh makan pada waktu malam sahaja. 

Sejak daripada musim raya itu, Anis masih lagi mengalami morning sickness. Anis tak boleh makan makanan yang bergoreng, pedas dan terlalu berminyak. Risiko untuk muntah adalah lebih tinggi. Ketika ini, Anis cepat lapar pada waktu siang dan tiada selera pada waktu malam. Anis juga akan berasa sangat lemah selepas waktu Maghrib. Anis selalu tidur awal sebab berasa sangat letih dan tidak bertenaga. Kadang-kadang, Anis juga muntah pada waktu malam. Toilet masih lagi berbau 'busuk' dan kadang-kadang, ketika pergi berjalan di luar pun Anis ada bau yang sama. Rasanya, Anis tak suka pada bau besi. Bau besi itu jadi bau semacam pada Anis. Anis juga jadi sensitif pada bau Glo pencuci pinggan, bau deodorant, perfum, dan apa-apa yang sepatutnya berbau wangi. Tetapi, mujurlah Anis boleh tahan dengan bau perfum suami Anis sedangkan bau perfum dan deodorant Anis sendiri Anis tak tahan. Kalau tidak, kesian dia. Ada orang mengandung kan tak suka bau suami. Hehe. Alhamdulilah, Anis tidak begitu. Tetapi, Anis ada juga pernah menyalahkan suami Anis sebab Anis sangkakan bau toilet busuk itu berpunca daripada dia sebab hanya dia pengguna lain toilet itu selain Anis. Huhu. Sorry, Abg..   

Soal mengidam pula, Anis tidak ada mengidam yang pelik-pelik. Cuma, semasa Anis mengalami morning sickness ni, Anis suka makan buah jambu batu atau epal hijau atau tembikai susu cicah asam boi. Entah kenapa Anis suka pada buah-buahan berwarna hijau muda ni. Hihi. Tapi, ini tak mengidam cuma Anis suka makan saja. Yang macam mengidam sikit, yang memang Anis tercari-cari dan nak sangat ialah kerang rebus. Tapi... Anis bukan nak kerang rebus yang biasa, macam yang jual kat restoren-restoren masakan Thai itu. Anis nak macam yang Anis selalu makan masa kecil-kecil dulu. Rebus sendiri kerang tu dengan kulit cangkerangnya bersama daun kunyit. Lepas itu, makan dengan cicah kicap. Oh, sedapnya! Semasa Anis di Temerloh, Anis dapatlah makan sikit. Tetapi, apabila balik ke Terengganu, susah pula nak cari kerang yang dijual tapi belum dibuang cangkerangnya. Semuanya dah 'togel'. T_T Sedih la juga..kempunan sedikit. Adalah ayah mertua Anis belikan kerang rebus dari sebuah restoren, tapi cara rebusnya lain. Huhu. Tapi, Anis makanlah juga, cuma tidak berapa tertunailah idaman Anis itu. Walaupun begitu, Anis berpuas hati jugalah sebab melihatkan usaha suami Anis yang sanggup melayan Anis mencari kerang itu di beberapa tempat walaupun akhirnya tidak dapat apa-apa. Usaha suami itu yang penting sebenarnya... mengandung ni, adalah rasa nak bermanja sikit dengan suami. Hehe. Terima kasih Abg sebab sudi melayan...hihi 

Anis hanya berkesempatan untuk membuat buku pink (booking) di Klinik Kesihatan Ibu Anak (KKIA) untuk pemeriksaan kandungan kira-kira 2 minggu selepas hari Raya. Sakan beraya dulu..hehe. Anis booking di Kuala Terengganu iaitu di KKIA Hiliran kerana Anis akan tinggal bermukim di rumah mertua Anis di Jalan Kamarudin sepanjang kehamilan kerana Anis belum bekerja lagi. Tarikh booking Anis ialah pada 28 Julai 2015 iaitu ketika kehamilan Anis hampir mencecah 13 minggu. Agak lewat sebenarnya, sebab sepatutnya selewat-lewatnya booking adalah sebelum 12 minggu. Tapi, mujurlah tak ada kena marah dengan misi. Lagipun, Anis manalah tahu, pengalaman pertama. Huhu. Untuk booking, dokumen yang diperlukan ialah IC dan kad nikah untuk mengesahkan kita sudah berkahwin. Misi juga akan interview sedikit berkenaan sejarah kesihatan diri kita, suami dan ahli keluarga kita. 

Jadi, pertama kali ke KKIA, Anis pergi dengan suami Anis serta kedua mertua. Rutinnya, ujian air kencing, ujian tahap hemoglobin dalam darah, berat, tekanan darah dan nadi akan diambil setiap kali temujanji. Ujian saringan HIV untuk diri kita dan pasangan (suami) juga dibuat pada pemeriksaan pertama kali. Kemudian, misi akan memeriksa perut atau kandungan kita dengan mengukur ketinggian rahim dan keadaan janin seperti kadar degupan jantung, pergerakan dan kedudukan presentasi janin. Jika perlu berjumpa doktor, misi akan merujukkan kita untuk berjumpa dengan doktor. Akhir sekali, sebelum balik, tarikh temujanji seterusnya akan ditetapkan oleh misi dan kita akan ke farmasi untuk mengambil vitamin atau ubat apabila perlu.

Untuk pemeriksaan yang pertama, semuanya baik-baik sahaja bagi Anis. Alhamdulilah, tiada apa-apa masalah.

Berat: 58kg
Tekanan darah: 110/70 mmHg
Nadi: 78/min
Urine: Sugar-Negative; Albumin-Negative
Hb: 12.6
HIV Rapid Test: Non-reactive for both wife & husband

Selepas pemeriksaan perut oleh misi, Anis kena berjumpa doktor buat pertama kali dan kandungan Anis discan. Kali ini, seronok dapat melihat anak dalam kandungan sudah mula menggerakkan kaki dan tangannya.  

Placenta: Fundal (kedudukan uri di bahagian atas-normal)
BPD: 20 mm
AC: 87 mm
FL: 11 mm

Vitamin yang Anis terima buat pertama kali ini ialah asid folik yang bagus untuk awal kandungan. Sepatutnya, dari awal lagi Anis makan sebab asid folik ini penting untuk diambil ketika 3 bulan pertama kandungan. Tetapi, Anis tahu hamil dan pergi booking pun lewat, tapi Anis makanlah juga. Jadi, tarikh temujanji seterusnya ialah lebih kurang sebulan kemudian iaitu pada 23 Ogos 2015. Temujanji Anis di KKIA Hiliran ini adalah pada hari Ahad. Kebetulan, suami Anis juga cuti pada setiap hari Ahad dan Isnin. Jadi, bolehlah dia temankan Anis pergi klinik sebulan sekali. Yeay! (^_^) 

Itulah antara kenangan-kenangan Anis ketika 3 bulan pertama Anis mengandung. Nanti, Anis sambung pula untuk trimester-trimester yang seterusnya. 


No comments:

Post a Comment

Anis sedia terima komen daripada kawan-kawan. Terima kasih! ;)